Masa hantar anak untuk solat Jumaat ternampak dari jauh cantiknya tersusun warna kuning dan hijau digerai buah ... bila dah sampai dekat gerai tersebut rupanya deretan buah mangga, besar-besar dan segar gitu ... apalagi, hala balik dari solat, singgah kat kedai tu beli 2 kilo.. hmm, sedap juga kalau makan dgn pulut ni, kat rumah ada lagi baki pulut kukus semalam ...
Amacam??? .. memang sedap ni, siap hias dengan orkid dari taman lagi... |
Ini adalah anggaran. Sukatan boleh dibuat mengikut kesukaan anda.
BAHANNYA:-
- 1 kg beras pulut
- 2 1/2 biji kelapa diambil santannya (2 biji utk pulut, 1/2 biji - pati santan utk sos)
- daun pandan -saya suka lebihkan kerana suka pada baunya.
- 5 biji mangga dibersihkan, dibuang kulit dan dipotong serong.
- air utk kukusan
- beberapa helai daun pandan
- garam
- gula
- Rendam beras pulut semalaman atau sekurang-kurangnya 3-4 jam. Setelah itu sediakan periuk kukusan dengan mengisi air dan beberapa helai daun pandan. Didihkan air rebusan tersebut.
- Sementara menunggu air rebusan tersebut mendidih, masukkan beras pulut kedalam bekas penapis dan basuh dibawah aliran air paip.
- Letakkan jaring pengalas (dari plastik yang boleh didapati dikedai2 hardware) dan daun pandan diatasnya. Kemudian letakkan setengah bahagian beras pulut diatasnya dan letakkan lagi selapis daun pandan. (gambar)
Daun pandan ni nampak 'buruk' sikit sebab saya renyuk-renyukan daunnya supaya lebih beraroma. |
Kat gambar ni boleh nampak jaring yang saya maksudkan tadi. Saya ni memang taksub sikit dengan bau dan rasa daun pandan... suka... |
- Masukkan pula baki beras pulut kedalam perium kukus tadi. Dengan menggunakan jari cucuk-cucuk dari permukaan beras pulut kedasarnya dan membentuk lubang2 kecil. Lubang-lubang kecil ini akan membantu beras pulut masak dengan lebih sekata lagi.
Beginilah rupanya bila siap dimasukkan kedalam periuk dan dicucuk-cucuk. |
Sedia untuk dimasak |
- Sementara menunggu kukusan beras pulut berkenaan, sediakan 2 bahagian santan. Bahagian Pertama : 2 biji kelapa diambil patinya dan dicampurkan garam secukupnya. Apabila pulut sudah masak, pindahkan pulut kedalam satu mangkuk.Tuangkan santan tadi sedikit demi sedikit dan kacau rata hingga sebati pulut tersebut. Setelah cukup mesra adunan tersebut, pindahkan semula ke periuk kukus dan kukus semula lebih kurang 10 minit.
- Bahagian Kedua : 1/2 biji kelapa diambil patinya dan dicampurkan dengan 1-2 sudu gula dan 1/4 sudu kecil garam. Renihkan sebentar dan jangan sampai 'pecah minyak'. Sos hendaklah lebih kan manis tetapi jangan terlalu manis!!!...
- Setelah semuanya siap, sendukkan pulut kedalam pinggan. Letakkan hirisan mangga dan tuangkan sos keatas mangga dan pulut. Sedap dimakan bila-bila masa sahaja.. Selamat mencuba..
TIPS: Kalau anda inginkan pulut pandan, rendamkan pulut dalam air pandan (blender daun pandan bersama air dan ambil airnya untuk direndam dengan pulut. Manakala untuk santan (kelapa dari 2 biji kelapa dicampur dengan beberapa helai daun pandan dan blender. Tapis dan gunakan santan berpandan tersebut untuk dituangkan dan gaul bersama pulut).
No comments:
Post a Comment